650 PESERTA MERIAHKAN LITERARY BACKPACK FUN RUN 2025
USM PULAU PINANG, 13 Januari 2025 – Program Literary Backpack Fun Run 2025 berjaya menghimpunkan hampir 650 orang peserta dari pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar negara bertujuan mengukuhkan keseimbangan ilmu, kesihatan dan budaya berkomuniti.
Acara ini menyaksikan penyertaan peserta antarabangsa dari Kenya, Vietnam, Jepun, China, Filipina, Korea Selatan, Bangladesh, dan Indonesia, selain peserta dari seluruh Malaysia termasuk Johor, Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan yang turut hadir memeriahkan larian ini.
Program anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi, dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Teleperformance Malaysia ini bukan sahaja menekankan kepentingan penjagaan kesihatan, tetapi juga menjadi simbol tanggungjawab sosial dalam memastikan generasi muda, khususnya kanak-kanak yang memerlukan, mendapat akses kepada pendidikan yang sewajarnya.
Bercakap ketika merasmikan acara, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab berkata, Literary Backpack Fun Run 2025 ini bukan sekadar acara sukan sahaja, tetapi menjadi simbolik kepada komitmen komuniti terhadap ilmu dan amalan menyumbang semula kepada generasi yang memerlukan.
“Saya dimaklumkan bahawa peserta membawa buku dalam beg galas mereka sepanjang larian sebagai simbol beratnya tanggungjawab dalam menuntut ilmu dan pembelajaran.
Buku-buku tersebut juga akan didermakan untuk menyokong program literasi kanak-kanak yang memerlukan, jutaan tahniah saya ucapkan kepada penganjur atas program yang cukup bermanfaat ini,” kata beliau lagi.
Jelas Habibah, acara seperti ini sebenarnya berfokuskan perjalanan, bukanlah persaingan dan beliau menyeru semua peserta untuk menjadikan setiap langkah ini amat bermakna demi kecergasan, perpaduan, dan masa depan yang lebih cerah dengan ilmu yang dituntut.
Beliau turut berkesempatan melepaskan peserta larian yang berlari sejauh 10 km, serta menyampaikan hadiah kepada pemenang larian dan pertandingan ‘Rekaan Beg Galas Paling Kreatif’, bertujuan menggalakkan inovasi dan kelestarian.
Turut hadir di majlis ialah Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM, Profesor Dr. Hazri Jamil; Pengarah Operasi Teleperformance Malaysia, Michael Christopher Sanchez; Pengarah Projek Literary Backpack Fun Run 2025, Dr. Mozhgan Ghassemiazghandi; Ketua Projek Bersama, Dr. Alla Baksh Mohamed Ayub Khan, Dr. Noor Alyani Nor Azazi dan Wan Azni Wan Mohamad.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq